Wednesday, November 29, 2006

DIALOG ANTARA UMAT ISLAM

Cendekiawan Islam Malaysia, Dr. Ismail Ibrahim, telah mencadangkan dialog agama bukan saja antara Islam dan Barat, tetapi khasnya antara Islam dan Islam. (Mingguan Malaysia, 8 Oktober, 2006; hal.6). Saya sokong penuh cadangan ini, kerana umat Islam sendiri sejak awal telah berpecah kepada puak yang bukan saja menyebabkan perbezaan pendapat, sama ada kecil atau besar, tetapi juga permusuhan dan peperangan. Ingat kembali Perang Unta (9 Disember, 656 antara Ali dengan penentang-penentangnya, termasuk Aisyah) dan Perang Siffin (28 Julai, 657 antara Ali dan governornya Muawiyah) .Ingat juga bahawa Khalifah kedua, Omar Ibn Khattab, Khalifah ketiga, Uthman Ibn Affan, dan Khalifah keempat, Ali, mati dibunuh. Dari perpecahan antara pengikut-pengikut Ali dan penentang-penentangnya terbentuklah kemudian beberapa puak, 200 hingga 300 tahun setelah Nabi Muhammad wafat, dengan teologi masing-masing. Dari puak-puak ini timbulah dua puak besar yang wujud hingga sekarang, iaitu Ahli Sunnah wal-Jamaah dan Syiah.

Ini menunjukkan sejarah Islam dari awal mempamerkan ciri-ciri taksub sesetengah orang Islam kepada aliran fikirannya (mazhab) dan pemimpinnya dan ini membuahkan kelakuan yang melampau dan “keganasan”. Satu contoh lagi patut dikemukakan, iaitu kelakuan Omar setelah Perjanjian Hudaibiyah di antara Nabi Muhammad dan pengikut-pengikutnya dengan orang-orang kafir Quraisy dimeteraikan. Perjanjian ini nampak seolah-olah berpihak kepada Quraisy dan tidak disenangi oleh Omar dan beberapa orang pengikut Nabi yang lain. Namun demikian, tindakan Nabi menerima perjanjian ini nyata kemudiannya mengandungi hikmah dan akhirnya membawa kemenangan kepada pihak Islam.

Dari contoh-contoh ini, nyatalah permusuhan dan “kegananasan” (perkataan ini digunakan kerana ketiadaan istilah lain yang lebih netral) ini bukan berpunca daripada sesuatu agama atau fahaman, tetapi daripada kecenderungan sesetengah pengikut sesuatu fahaman untuk bertindak melampau. (“Melampau” bermakna terkeluar dari batas kewajaran. “Kewajaran” suatu metafora yang merujuk kepada keadaan yang saksama.) Kita boleh mengesahkan andaian ini dari ajaran Tuhan yang melarang dua jenis penyelewengan, iaitu penyelewengan melampaui batasan kewajaran sama ada ke arah Kiri atau Kanan, atas atau bawah (contoh: tindakan terlalu keras membawa kepada pencerobohan dan keganasan; tindakan terlalu lembut membawa kepada penghinaan dan penindasan. Dalam Quran, Islam itu “Jalan Lurus” atau “Jalan Tengah”. Dalam istilah politik moden, ia tidak menyeleweng ke Kanan (Kapitalisme) atau ke Kiri (Komunisme). Ia mengimbangi dan mengharmoniskan dua tuntutan yang bertentangan, iaitu tuntutan individu dan tuntutan kolektif.

Jadi, ini bukan masalah fasisme Islam, seperti yang didakwa oleh Bush dan kumpulan konservatif barunya yang muncul dalam politik Amerika dalam masa dua dekad yang lalu. Ini masalah penyelewengan dalam ideologi. Kita ambil ideologi penjajahan serta bentuk-bentuk keganasannya: kemiskinan, kemuduran, tahanan haram, peperangan dan pembunuhan. Apabila sesuatu bangsa yang dijajah bangun menentang penjajahan itu serta menuntut kemerdekaan secara wajar, ia bukan keganasan tetapi pembelaan hak yang sah – mereka pejuang kebebasan, bukan pengganas. Dalam kes penjajahan Palestin, kuasa penjajah Israellah yang bersifat keganasan, bukan perlawanan oleh rakyat Palestin. Orang Palestin yang mengangkat senjata menentang penjajahan Israel di bumi Palestin bukan pengganas tetapi pejuang kemerdekaan.

Demikian juga dengan kes penaklukan A.S. dan sekutunya di Iraq. A.S. dan sekutunyalah pengganas, bukan rakyat Iraq yang bangun melawan mereka dalam bentuk perang gurila bandar. Tetapi ada kalanya penentangan ini megambil bentuk yang keras yang melampaui batasan kewajaran dan menyebabkan banyak kerosakan (nyawa dan harta-benda). Penjajahan itu salah dan penentangan terhadapnya sah. Namun demikian, penentangan yang menyebabkan kerosakan kepada nyawa dan harta-benda awam yang banyak tidaklah wajar dan harus dielak.

Ambil kes Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua. Berapa banyak nyawa dan harta-benda yang terkorban? Sangat banyak! Patutkah peristiwa-peristiwa ini berlaku? Memang tidak patut. Apakah puncanya? Pergaduhan antara dua puak penjajah.

Bagaimanakah kita hendak menyelesaikan masalah permusuhan dan peperangan di kalangan umat Islam sendiri? Sungguh aneh umat yang diisytiharkan Tuhan “paling baik di dunia” dan “umat yang bersaudara antara satu sama lain” telah gagal bertindak demikian. Orang sinis akan mengatakan Tuhan sudah gagal!

Sebenarnya, Tuhan tidak gagal. Yang gagal ialah masyarakat-masyarakat yang telah diberi petunjuk oleh Tuhan, tetapi tidak mengikut petunjuk itu, kecuali sekejap saja, pada waktu rasul-rasul Tuhan berada bersama-sama mereka: contohnya, Musa, Isa dan Muhammad. Sebaik saja rasul-rasul itu tiada bersama mereka, mulalah penyelewengan berlaku, diikuti dengan kemerosotan perjuangan yang telah diajar oleh rasul-rasul itu dan kejatuhan masyarakat itu. Tetapi rancangan Tuhan meliputi bukan ssesuatu masyarakat saja, atau beberapa generasi masyarakat itu, tetapi masyarakat manusia secara keseluruhan dan tidak terbatas kepada tempoh tertentu. Masyarakat yang gagal melaksanakan petunjuk Tuhan akan diganti dengan masyarakat lain dan generasi yang gagal akan diganti dengan generasi lain, sehingga rancangan Tuhan terlaksana sepenuhnya. Rancangan Tuhan ialah mewujudkan masyarakat yang baik bagi manusia, dengan kata-kata lain, Firdaus. Firdaus ini perlu diperjuangkan oleh manusia sendiri, mengikut ajaran Tuhan dalam kitab-suci-Nya, khasnya Al-Quran. (Lihat Quran, 9: 111).

Mengapakah manusia, termasuk umat Islam sendiri, gagal mematuhi petunjuk Tuhan? Jawapannya yang ringkas ialah kerana mereka tidak mahu berjuang untuk meningkatkan jiwa atau nafs mereka dari peringkat haiwan (amarah, kadang-kadang disebut “dunia” dalam Quran) kepada peringkat yang lebih tinggi, peringkat kejiwaan yang mengiktiraf hak dan kepentingan sah orang lain (lawwamah) (pada tahap ini kita akan mencapai dunia yang adil) dan akhirnya peringkat kejiwaan suci (mutmainnah) yang berada di dalam keadaan damai dan harmonis dengan persekitarannya (Firdaus).

Sudah wujud empat jenis sistem hidup dalam masyarakat manusia dari dulu hingga sekarang. Dua daripadanya bersifat materialis, iaitu sistem liberal kapitalis Barat dan sistem Marxis komunis Timur. Yang kedua telah pun runtuh, dan yang pertama sedang menuju keruntuhan dalam masa terdekat (kegagalan hegemoni Inggeris-A.S.-Israel di Asia Barat ialah tandanya).

Sistem jenis ketiga ialah teokerasi, pemerintahan zalim atas nama Tuhan. Ia berlaku di Zaman Pertengahan Eropa sewaktu Gereja Katolik dan Paus berkuasa penuh. Sistem ini sudah pun hapus, tetapi muncul balik di Iran pada tahun 1979 di bawah pemerinthan yang dipanggil Republik Islam Iran. Pemerintahan ini telah bersekongkol dengan A.S. untuk menghancurkan Iraq. Sekarang A.S. dan Israel mungkin akan menghala meriam mereka terhadap Iran pula! Lihatlah bagaimana ketaksuban kepada puak mereka membuat umat Islam menjadi buta kepada kepentingan mereka sendiri!

Sistem jenis keempat ialah sistem yang boleh dipanggil republikan demokratik, mengiku istilah politik moden. Sistem yang dibawa oleh Nabi Muhammad, yang termaktub dalam Quran dan dilaksanakan oleh Nabi Muhammad di bawah Piagam Madinah di kota Madinah dan kemudian di seluruh Semenanjung Arab, boleh ditakrifkan sebagai sistem republikan demokratik. Republikan kerana ia bersifat rakyat; demokratik kerana ia diwujudkan berdasarkan musyawarah.

Sistem jenis keempat inilah sistem “Jalan Lurus” yang disebut dalam Quran. Ia tidak menyeleweng ke Kana atau Kiri, ke atas (teokrasi) atau ke bawah (anarki). Tiap-tiap masyarakat, pada zaman purba atau moden, pada waktu-waktu tertentu apabila masyarakt itu mengikut petunjuk Tuhan, dianugerah sistem republikan demokratik ini dan pada waktu-waktu itu mereka meningkat naik dan maju.

Dialog di kalangan umat Islam sendiri perlu diadakan. Malaysia, atau Malaysia melalui OIC, boleh dan patut menganjurkannya. Dialog ini perlu mencari kaedah yang baik untuk mendapat kejayaan. Kaedah yang paling baik ialah dengan kita melihat umat Islam secara keseluruhan, mengatasi batasan puak dan teologi puak. Kita mesti memakai kaedah tauhid, seperti yang diajar dalam ayat ini: “Kamu umat yang paling paling dari kalangan manusia: kamu menyerukan kebaikan dan melarang kejahatan dan kamu beriman kepada Allah.” (Quran, 3: 110). Ada tiga syarat pokok di sini untuk melayakkan masyarakat Islam menjadi masyarakat yang paling baik di kalangan manusia, iaitu mereka beriman kepada Tuhan Yang Esa dan mereka berjuang untuk menegakkan kebaikan dan menghalang kejahatan.

Nyatalah umat Islam sekarang sudah hilang kelayakan ini. Mereka hendaklah berusaha untuk mengembalikan kelayakan-kelayakan ini kepada diri mereka. Pada waktu itu, layaklah mereka memimpin dunia, serta menyelamatkan manusia dari kehancuran total yang menanti, kerana kegagalan kita menghalang angkara hegemoni A.S-Inggeris-Israel di dunia.

Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Beliau boleh dihubungi di kasmad@yahoo.com.my. Laman wen beliau http://www.kassimahmad.blogspot.com/

Sunday, November 19, 2006

ANGIN PERUBAHAN DALAM

PERHIMPUNAN AGUNG UMNO KE-57

Kassim Ahmad

18 November, 2006

Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri Malaysia, Abdullah Haji Ahmad Badawi, terkenal dengan nama jolokannya Pak Lah, pergi ke Perhimpunan Agung UMNO ke-57 yang baru selesai, dengan menanggung banyak beban. Tiga tahun ke dalam kepimpinannya, ramai rakyat Malaysia telah mula mempertikai beliau. Rasuah. Kenaikan harga barang-barang dan kemudahan-kemudahan asas, kerana kenaikan harga minyak. Beberap kroni, termasuk anggta-anggota keluarganya sendiri, di sekelilingnya yang dikatakan menguasai pentadbiran beliau. Ditambah dengan itu, kritikan yang ditujukan kepada beliau oleh bekas Presiden UMNO dan Perdana Menteri yang telah memilih beliau sebagai penggantinya. Kira-kira dua minggu sebelum perhimpunan itu, beliau memberitahu pemberita-pemberita Malaysia di Islamabad apabila beliau melawat Pakistan bahawa beliau belum pun memikirkan ucapan beliau! Bolehkah kita salahkan sangkaan sesetengah rakyat bahawa beliau hendak cabut lari?

Pada petang Jumaat (17 November) apabila beliau menggulung dua hari perbahasan ucapan beliau, beliau nampak selesa, ceria, tenang dan gembira dengan apa yang beliau lihat dan dengar dalam lima hari perhimpunan itu. Ketiadaan Tun Dr Mahathir dalam perhimpunan itu, kerana kesihatannya tidak membenarkan, sungguh suatu rahmat Tuhan kepada UMNO dan kepada rakyat kita, yang amat bimbang tentang kemungkinan-kemungkinan yang tidak diingini. Namun demikian, Pak Lah tidak lupa untuk mengajak perhimunan itu memanjatkan doa bagi kesihatan Tun Dr. Mahathir serta menjanjikan segala kemudahan kesihatan negara untuk kesembuhan beliau.

Pak Lah bukan seorang ahli pidato, seperti Anwar Ibrahim; bukan juga seorang ahli fikir yang tajam inteleknya, seperti Tun Dr. Mahathir. Beliau mengambil masa dua jam, lebih lama daripada biasa, untuk membaca ucapan 28 muka surat itu. (Beliau meberitahu kemudian bahawa beliau membuat tujuh atau lapan semakan kepada ucapan itu.) Tepukan diberikan perwakilan di sana-sini, tetapi tidak boleh dikatakan gemuruh, dan sesetangah wakil nampak sedikit bosan dan resah. Namun demikian, ucapan itu menyeluruh, kemas, mengandungi makna yang dalam dan menyentuh semua perkara yang patut disentuh oleh seorang presiden UMNO.

Beberapa perkara patut diberi perhatian. Huraian dan penegasan beliau tentang kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh semua kaum dan termaktub di dalam Perlembagaan dan perlu dipelihara, dipatuhi dan dipertahankan. Ini termasuk kedudukan istimewa orang Melayu sebagai bangsa yang menakrif bangsa Malaysia yang sedang dibangunkan, kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan Bahasa Kebangsaan.

Beliau menekankan bahawa perjuangan UMNO untuk mencapai Agenda Melayu itu tidak bermakna menafikan hak dan kepentingan yang sah suku-bangsa lain yang menjadi rakyat Malaysia. Dalam hubungan ini, beliau melarang penimbulan isu-isu sensitif berhubung denga agama dan kaum untuk menjaga keharmonian kaum. Syarat ini tentulah ada batasnya. Ia hanya boleh berlaku dalam konteks sebuah pemerintahan yang mengamalkan musyawarah dan permuafakatan dan pemerintahan yang adil dan saksama kepada semua kaum. Pada akhirnya, rakyat Malaysia mestilah boleh berfikir secara saintifik dan rasional (mentaliti kelas pertama) [1] untuk membangunkan sebuah bangsa dan tamadun yang cemerlang, gemilang dan terbilang (untuk meminjam kata-kata Pak Lah sendiri).

Kita juga menghargai jemputan Pak Lah supaya menegur dan mengkritik beliau secara membina, “kerana beliau tidak sempurna”. Kita harap kebebasan bersuara ini akan dilaksanakan dalam parti, dalam Kerajaan, dalam media dan dalam masyarakat. Kebebasan ini tentu ada batasnya, kerana kita semua bertanggungjawab terhadap kemajuan, keselamatan, kedaulatan dan kelangsungan bangsa kita. Tetapi, harus diingat, bahawa kebebasan ini bukan suatu formaliti satu orang satu undi dalam pilihanraya; kebebasan ini berakar-umbi dalam kesedaran bahawa, tanpa kebebasan, manusia tidak lebih dari tumbuh-tumbuhan dan binatang yang tidak boleh berfikir dan tidak boleh menentukan destininya. Manusia dijadikan khalifah di dunia untuk mentadbir dan mengubah dunia menjadi suatu tempat yang bahagia dan selamat untuknya. Ini tidak boleh dilakukan tanpa komitmen untuk “menyeru kepada kebaikan dan melarang kejahatan”. Kita mengambil perhatian akan kata-kata Pak Lah bahawa beliau menanggap kerja politiknya sebagai amal kepada Allah s.w.t. Ini patut dijadikan dasar UMNO.

Cara hidup Islam ialah “jalan yang lurus” di antara dua penyelewengan, yang disebut dalam surah Al-Fatehah. Cerdik-pandai kita perlu kaji dan teroka jalan ini dalam bidang-bidang politik, ekonomi, kewangan dan lain-lain supaya ayat ini tidak difaham dan dihayati semata-mata dari segi pengertian agama yang sempit. Pendekatan “Islam Hadhari” yang dibawa oleh Pak Lah, pada dasarnya, betul. Ia ingin mengelak, di satu pihak, tafsiran ortodoks yang terlalu konservatif dan tertutup, dan, di pihak lain, tafsiran liberal yang terlalu memudahkan dan luas.

Kita memikirkan sistem global sekarang yang didominasi oleh falsafah neoliberal Barat, yang sedang runtuh dengan cepat, dan yang perlu kita gantikan dengan sistem nasional dan internasional yang lebih baik. Kemaharaja-lelaan dan kebuasan kuasa-kuasa besar Barat di Palestin dan di Iraq itu suatu manifestasi kebobrokan sistem global sekarang. Dengan seruan Pak Lah supaya kita bangunkan suatu masyarakat yang mengutamakan sains dan rasionaliti yang tidak menolak malah menekankan wilayah kerohanian (masyarakat ulil’ al-bab) satu seruan yang baru dalam UMNO dan dalam masyarakat kita.

Seorang kenalan saya menyatakan Perhimpuan Agung UMNO kali ini nampak macam muktamar PAS, dengan perwakilan banyak memetik ayat Quran dan Hadis! Walaupun kita tahu syaitan juga boleh memetik ayat-ayat Quran untuk mengelirukan orang ramai, saya tidak fikir kita patut dan perlu menjadi skeptikal seperti itu. Kita sedar UMNO, mengikut kenyataan-kenyataan pemimpin UMNO sendiri, sudah banyak rosak, dengan rasuah politik dan semangat materialisme yang terlalu ketara. Namun demikian, kita tidak boleh putus asa dengan UMNO. Kerosakan ini boleh dan perlu dibaiki.

UMNO mewakili tiga daripada enam belas juta orang Melayu di Malaysia – suatu bilangan yang tidak kecil. Enam puluh tahun dulu, UMNO bermula dengan semangat dan falsafah kebangsaan Melayu. Hari ini ia telah meluaskan semangat dan falsafah itu kepada kebangsaan Malaysia dengan Islam sebagai panduan hidup kita. Ini suatu perubahan besar yang kita alu-aukan dan sokong. Terpulanglah kepada kita, khasnya ahli-ahli UMNO dan para patriot di antara kita, untuk mendakap erat semangat dan falsafah baru itu dan menjadikan ia suatu realiti dalam kehidupan masarakat kita, bukan dalam masa enam puluh tahun akan datang, tetapi secepat mungkin – sekarang!.

Kassim Ahmad, bekas Presiden Parti Sosialis Rakyat Malaysia dan seorang penulis bebas. Beliau boleh dihubungi di kasmad172@yahoo.com.my. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com



[1] Firman Tuhan, “Hendaklah kamu seru ke jalan Tuanmu dengan hikmah dan ajaran yang elok, dan debat degan mereka dengan cara yang baik.” (Quran, 16: 125)

Friday, November 17, 2006

KENYATAAN AKHBAR

Bagi pihak Forum Iqra’, saya mengalu-alu dan menyokong beberapa saranan positif Presiden UMNO dalam ucapannya dasarnya kepada Perhimpunan Agung UMNO ke-57 pada Rabu 17 November lalu.

Khasnya, kami mengalu-alu dan menyokong pendekatan Islam jalan tengah di antara keterlampauan konservatisme dan keterlampauan liberalisme dalam semua bidang kehidupan rakyat Malaysia. Sejak awal penubuhan kami pada tahun 2002, kami telah menganjurkan pendekatan ini.

Dalam ucapan dasar itu, Presiden UMNO telah menggariskan 12 gagasan yang penting yang telah menjadi halatuju dan panduan pentadbiran beliau. Dua belas gagasan ini termasuklah perpaduan bangsa beradasarkan kontrak sosial antara kaum, khasnya kedudukan istimewa orang Melayu sebagai penakrif bangsa Malaysia, agama Islam sebagai agama rasmi negara dan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa hak-hak dan kepentingan-kepentingan suku-kaum lain yang sah dalam negara Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya terplelihara dan dipelihara, termasuk layanan yang adil dan saksama kepada mereka.

Beliau juga memberi suatu tafsiran yang baru kepada gagasan demokrasi di Malaysia, bersadarkan permuafakatan kaum dan musyawarah dalam parti, Kerajaan dan masyarakat, termasuk kebebasan kepada media untuk membuat laporan dan analisis yang objektif. Ini perkembangan yang sihat.

Dalam ucapan yang komprehsensif itu, beliau menekankan pertumbuhan ekonomi berdasarkan faktor kreatif modal insan dan nilai tambahan yang perlu untuk menghadapi keruntuhan sistem global neoliberal Barat yang sudah bankrap. Di sinilah sistem kewangan dan ekonomi pertengahan Islam perlu dikaji dan terokai untuk menggantikan sistem neoliberal Barat. Di sini beliau juga menekankan bukan saja pertumbuhan, tetapi juga pengagihan yang adil. Dalam keadaan rakyat kita yang menderita sekrang kerana kenaika harga barang-barang keperluan dan kegunaan awam, Kerajaan mestilah mengambil tindakan-tindakan mengurang dan mebasmi pembaziran serta meringankan bebanan kewangan rakyat.

Di sini juga beliau menekan kelahiran masyarakat ilmu (masyarakat ulil’l al-bab), termasuk membina komuniti ahli sains dan teknologi di kalangan orang Melayu. Buat pertama kalinya, beliau menekankan perimbangan jantina di antara lelaki dan perempuan di dalam semua sektor.

Ramai orang telah putus asa dengan nekad beliau pada awalnya untuk membasmi rasuah. Sekali lagi beliau mengajak rakyat membantu beliau melakukan tugas besar ini. Kita harap selepas ini tugas ini diberi perhatian yang sepatutnya oleh beliau, oleh parti, oleh Kerajaan dan oleh rakyat supaya barah ini dapat dihapuskan dari tubuh badan Malaysia.

Beliau menjemput teguran dan kritikan terhadap beliau. Beliau membuat pengakuan yang penting bahawa beliau tidak sempurna dan memerlukan teguran.

Dalam pada itu, beliau menekankan kesinambungan dasar semua pemimpin UMNO dari Dato’ Onn sehingga keadaan beliau sekarang. Tiap pemimpin ada kekuatan dan kelemahan masing-masing. Yang penting ialah tugas mempertahankan kedaulatan dan memajukan bangsa dan negara.

Dalam menganjurkan toleransi agama untuk menjaga keharmonian kaum, beliau juga menganjurkan toleransi mazhab di kalangan umat Islam untuk mengelak permusuhan dan perpecahan di kalangan mereka. Pada hemat kami, ayat lakum dinukum wa liyadian tidak boleh dikenakan pada sesama orang mukmin. Orang mukmin mestilah berpegang teguh kepada Tuhan Yang Esa (fahaman tauhid) dan kitab suci-Nya yang terkemas kini, iaitu al-Quran ‘ul-Karim. Persis kitab-kitab mazhablah yang membawa kepada permusuhan dan perpecahan.

Kami berharap UMNO, Barisan Nasional dan Kerajaan, dengan sokongan rakyat, akan melaksanakan saranan-saranan yang baik dalam ucapan dasar yang telah diterima oleh Perhimpuan Agung UMNO yang ke-57 in seberapa segera. Harus diingat bahawa Nabi Muhammad, yang menjadi ikutan Presiden UMNO sekarang, mengikut kenyataannya sendiri, telah menyempurkan misi besarnya dalam masa 23 tahun sahaja. UMNO sudah berusia 60 tahun dan negara kita sudah merdeka 49 tahun! Kata hendaklah dikotakan; janji hendaklah dilaksanakan!

KASSIM AHMAD

Presiden, Forum Iqra

18 November, 2006.

Thursday, November 02, 2006

Hadis: Jawapan Kepada Pengritik #5

Bab 1: Pengritik Pengrikik Saya (Sambongan)

Hujah: ‘Metodologi penulis Lemah’ (Hujah 8)

Apa yang dimaksudkan oleh pengkritik saya dengan tuduhan ini ialah keengganan sya menggunakan kaedah usul fiqh untuk mengkaji Hadis. Kaedah usul fiqh memerlukan kita menerima Hadis sebagai sumber hokum, mengikut pendapat ijmak ulama.[1] Kritikan ini tidak munasabah, kerana persis perkara itulah yang kita pertikai. Pendapat bahawa Hadis/ Sunnah dari mula-mula lagi telah diterima sebagai sumber hukum tidak mempunyai asas yang kukuh baik dalam Quran mahupun dalam sejarah. Perkara ini telah saya buktikan dalam buku ini dengan menunjukkan bahawa (a) kumpulan-kumpulan rasmi Hadis lagi kedua-dua kaum Ahli Sunnah dan Syi’ah hanya dibuat selepas Imam Shafi’I berjaya menjadikan Hadis/ Sunnah sebagai sumber hukum , (b) Hadis sedikit sekali digunakan dalam zaman Sahabat, dan hanya digunakan sebagai teladan atau precedent, (c) ada Hadis-hadis yang mempertikai Hadis-hadis yang mengutarakan Hadis/ Sunnah sebagai sumber hukum , dan (d) Quran sendiri melarang kita menduakan sumber hukum.[2]

Hujah: ‘Penulis Tidak Menggunakan Sumber Berwibawa’ (Hujah 9)

Hujah bahawa saya telah menggunakan sumber-sumber yang berwibawa, tidak tepat sama sekali. Dua sumber pokok yang saya gunakan ialah Quran dan Hadis. Tidak ada yang lebih asli daripada sua sumber ini. Dari kedua-dua sumber ini, kita dapat mengetahui pertentangan-pertentangan antara Hadis dan Quran, dan antara Hadis dengn Hadis.

Saya juga menggunakan kitab Shafi’I, Al-Risalah dan riwayat hidup Nabi oleh Ibn Ishaq. Ini juga sumber-sumber asli mengenai perundangan Islam klasik, kehidupan Nabi dan keadaan sosial awal di Semenanjung Arab.

Untuk mengetahui sejarah perkembangan dan pengumpulan Hadis, saya menggunakan sumber-sumber yang berwibawa di dalam masyarakat akademik Islam antarabangsa, seperti M. M. Azmi, Muhammad Hamidullah dan lain-lain, dan sumber-sumber yang berwibawa dalam masyarakat akademik antarabangsa, seperti Joseph Schacht, Ignas Goldzihar dan lain-lain.

Setelah mengkaji sumber-sumber ini semula, saya membuat kesimpulan-kesimpulan yang saya fikir munasabah, rasional dan saintifik, sesuai dengan ajaran-ajaran Quran.

Tuduhan semberono bahawa semua sarjana Barat mengenai Islam itu orientalis dan dengan itu berat sebelah, tidak boleh diterima. Kecuali mereka yang anti-Islam, kebanyakan sarjana orientalis sama saja dengan sarjana-sarjana lain. Mereka cuba membuat kajian secara ilmiah, tanpa mempunyai prasangka. Namun demikian, mungkin tidak ada sarjana yang sepenuhnya bersih dari prasangka dan tidak membuat kesilapan. Oleh itu, ada pendapat mereka yang adil yang patut diterima; ada pendapat mereka yang tidak adil dan patut ditolak.

Perbezaan pendapat di kalangan cerdik-pandai itu satu fitrah manusia. Kita berbeza pendapat bukan saja dengan cerdik-pandai bulan-Islam, tetapi juga antara kita sama sendiri. Ini hal yang lazim dan ada manfaatnya. Dari pertembungan pendapat-pendapat yang berbeza inilah kita memperoleh kebenaran.

Hujah: ‘Penulis Tidak Tahu Bahasa Arab’ (Hujah 10)

Hujah ini gergaji mata dua belah! Implikasinya, sekiranya penulis tahu bahasa Arab, beliau tidak akan mempertikai Hadis! Tetapi kita tahu bahawa sesetengah kalangan kaum Muktazilah, yang terdiri daripada ahli-ahli sains dan falsafah Arab sendiri, mempertikai Hadis Muhammad Abduh, seorang ulama Arab yang terkenal, mempertikai kesahihan sesetengah Hadis. Banyak lagi sarjana Islam yang tahu bahasa Arab di zaman moden ini, termasuk Ahmad Amin, Ghulam Ahmad Parves, Sayyed Abdul Waddud dan Rashad Khalifa, mempertikai Hadis.

Walaupun penulis tidak mempunyai sijil kelulusan bahasa Arab dari mana-man universiti, dia menggunakan tafsir-tafsir yang dianggap berwibawa dalam masyarakat Islam. Dia mengkaji tafsir-tafsir ini selama tiga puluh. Dari kajian-kajian ini, seseorang boleh memahami Quran seperti orang lain yang menggunakan bahasa Arab juga, malah lebih daripada itu. Pemahaman Quran bukan terletak pada bahasa Arab; ia terletak pada pemahaman fikiran dan idea. Mungkin inilah kekuatan penulis: beliau tidak mengkaji Quran kerana karier!

Bahasa itu, pada dasarnya, suatu alat perhubungan. Dari segi ini, tiada perbezaan antara satu bahasa dengan bahasa lain. Ambil contoh ayat yang paling tinggi dalam Islam : “La ilaha ill-Allah”. Terjemahannya dalam bahasa Melayu: “Tiada tuhan melainkan Allah”. Ini terjemahan yang baik dan tepat sekali serta mengandungi makna asalnya sepenuhnya.

Ambil lagi contoh surah pendek, Al-Ikhlas (112), yang memberi keterangan yang lengkap tentang Allah. Terjemahannya dalam bahasa Melayu berbunyi:

Katakanlah, “Dia itu Allah, Tuhan yang satu. Tuhan yang sempurna. Dia tidak beranak, dan tidak pula diperanakkan. Dan tiada suatu pun yang serupa dengan-Nya.”

Dua contoh ini sudah cukup untuk membuktikan bahawa sebuah terjemahan yang baik boleh menerangkan makna Quran itu kepada kita tanpa mengetahui bahasa asalnya. Yang penting bukan bahasanya, tetapi maknanya. Orang-orang Arab sekarang membaca Quran dalam bahasa mereka sendiri; tetapi adakah mereka melaksanakan perintah-perintah Tuhan dalam Quran? Jadi fahaman dan amalan tidak bergantung kepada pengetahuan bahasa Arab. Ia bergantung kepada iman atau komitmen seseorang itu. Kitab-kitab suci dahulu, seperti Taurat dan Injil, yang diturunkan dalam bahasa Inggeris. Dialog-dialog Plato yang ditulis mulanya dalam bahasa Yunani sekarang dibaca dan dikaji dalam terjemahannya saja. Namun demikian, kandungan ajaran buku-buku agung ini tetap kita peroleh.

Kesimpulannya, bahasa Arab tidak penting untuk memahami kandungan Quran, kerana banyak terjemahan yang baik sudah ada. Seorang sarjana mengenai Islam perlu mengetahui bahasa Arab kerana banyak karangan mengenai Islam masih dalam bahasa Arab dan belum diterjemahkan. Walau bagaimanapun, mengenai Hadis, banyak karya telah ditulis dalam bahasa Inggeris dan Melayu, dan seorang pengkaji boleh menggunakan karya-karya ini sebagai rujukan tanpa menyebabkan penyelidikannya jadi kurang bermutu.

Sambongan: Bab 2: Makna Ayat “Taatilah Allah Dan Taatilah Rasul”


[1] “Tetapi persis hubungan organic antara ijtihad dan ijmak inilah yang telah diputuskan dengan rumusan Al-Shafi’I dan mazhab klasik. Tempat Sunnah-Ijtihad-Ijmak mereka gantikan dengan Sunnah Nabi yang bukan lagi merupakan pedoman umum tetapi sesuatu yang mutlak, pasti dan khusus dan satu-satunya salurannya yang diterima itulah Hadis.”(Islamic Law, h. 21)

[2] “Apakah akan kucari selain Allah sebagai sumber hukum sedangkan Dialah yang menurunkan kepadamu kitab ini yang dijelaskan sejelas-jelasnya.”(Quran,6:114)